Thursday 12 January 2012

Langkah Tercipta


Langkah telah tercipta. Terus mengatur sebaiknya. Walaupun kadang kala, terlajak. Mujur, belum terlambat untuk aku undur semula. Terus. Berada di atas paksi yang ditetapkan. Iman. Tak mudah menjaga iman. Harus cekal dan tabah mengharungi pelbagai tribulasi dan mehnah yang melintang di hadapan. Iman ini. Mesti dijaga. Niat perlu jelas. Iltizam perlu dikuatkan. 


Jangan ambil mudah hal ini. Fikir sedalamnya. Siapakah yang akan menghidupkan sunnhah Baginda S.A.W jika bukan kita? Malulah kita. Mengaku umatnya, tetapi sunnah Baginda S.A.W kita ketepikan. Sunnah itu pesanan buat kita. Agar terus berada di bawah naungan rahmat dan hidayahNya. Dengan menghidupkan sunnahnya, iman ini akan terus mekar, subur di dalam sanubari. Bila kita mengambil mudah tentang ini, nafsu dan syaitan akan mengambil kesempatan untuk mengapikan kita dengan suasana jahiliyyah yang semakin berleluasa. Jangan sedih atau malu ketika dirimu di anggap asing atau aneh ketika kamu cuba menghidupkan amalan sunnahnya, kerana Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan yang bermaksud:

“Islam datang dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana kedatangannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR. Muslim)


Hari - hari dalam tahun ini telah berlalu. Perjalanan aku diteruskan sesampainya aku di 'tempat baru'. Ya, tempat ini baru sekali dalam hidupku. Sedang aku masih baru belajar meninggalkan Kg. Nipah, MTS Al-Muhammadi yang sudah menjadi ibarat kampung aku sendiri, ada yang sedang cuba mengambil ruang dalam hati ini untuk terus mengukir sesuatu. MTS Nurul Aman. Rindu masih tersisa. Setiap jejak langkah dan perbuatan aku di sini. Sering saja aku terfikir "Kalau di Nipah, aku sedang begitu dan begini pada saat ini..." Walau perbezaannya taklah begitu ketara, aku sendiri masih belum mengerti apa yang sedang aku hadapi. Kerana, setiap yang aku lakukan pasti ada kaitan dengan dia. Dia yang sentiasa menemani aku dalam apa jua yang aku lakukan. Di MTS Al-Muhammadi, bahkan juga di tempat-tempat lain. Ya Allah, inikah cubaan yang kau lontarkan kepadaku. Aku cuba kuatkan diri. Aku yakin ini cubaan dariNya. Syaitan juga mula membisik, cuba mengeluarkan aku dari komuniti MTS ini. Agar aku tidak lagi bersama Al-Quran. Sungguh aku sayangkan Al-Quran ini. Terkadang, bisikan syaitan laknatullah itu juga cuba untuk menyerabutkan ruang fikiran ini. Sungguh, dengan kekuatan dariNya, aku sedar, ITU HASUTAN SYAITAN.

Masih terngiang kata-kata semangat;

"orang yang paling kalah ialah mereka yang tidak mahu menerima perubahan & berubah. Bila kita tidak menyerah kalah, kita tidak boleh gagal."

Dalam ketika diri sudah mulai sedar. Aku cuba mengukur nilai syukurku kepadaNya. Sungguh, aku insan lemah yang sering teperdaya dengan hasutan Syaitan. Aku mohon perlindungan dengan Allah 'Azza wa Jalla daripada hasutan Syaitan dan Iblis yang menggoda. 

Bersyukurlah atas nikmatNya. Dewasa ini, aku sering terpaut untuk melihat dan memerhati mereka yang dikurniakan kelebihan atau apa-apa yang dihajati daripada Allah. Cukupkah dengan ucapan kalimah "Alhamdulillah"?
Ya, hayatilah kalimah "Alhamdulillah" itu dengan sepenuh penghayatan. Segala puji bagi Allah. Nescaya engkau akan merasakan, sesuatu yang tidak pernah kau rasa. Engkau juga mungkin akan merasakan tidak cukup sekadar itu. Syukurlah atas nikmat yang paling besar buat kita. Ianya, nikmat Iman dan Islam.

Ada dalam kalangan ulama dahulu mengatakan kadang-kadang syukur itu mungkin lebih tinggi maqamnya daripada sabar. Mungkin sekali seseorang itu sabar kerana sudah tiada arah lagi. "Sabar je lah, nak buat macam mana...". Keluhan. Namun, tidak syukur. Ianya tak mudah. Kita terkeliru, sama ada meraikan dengan kegembiraan mengikut nafsu atau meraikan dengan bersederhana, mensyukurinya. Dalam keadaan seperti ini, mensyukuri nikmatnya menjadi sesuatu yang tak mudah untuk kita 'amal. Sesungguhnya nikmat Allah yang dikurniakan tak terhingga. Syukurlah. Syukurlah. Syukurlah dan bersabar. Renungi beberapa firmanNya yang agung agar menjadi azimat penguat azam:

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang."  (Surah an-Nahl, ayat 18)

Dan (ingatlah) tatkala Rab (Tuhan) kamu memberi peringatan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya ditambahkan (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku (Allah) sangatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)


p/s: Doakan aku. Agar tenang dalam menempuh segala dugaan yang diberi. Moga aku terus kuat dan tabah dalam menjalani hidup. Moga kita semua menjadi da'ie dalam konteks yang sebenar. Menyeru kepadaNya.

No comments:

Post a Comment