Saturday 31 December 2011

Catitan cinta ketika diri menerobos waktu


2011. Angka yang menjadi tanda, berlalunya waktu. Juga pelbagai warna yang terlukis di hati kala berlalunya tahun lalu. Lantas terlintas di fikiranku untuk menukilkan sesuatu yang terbuku di hati ini.

Syukur padaNya, tahun ini begitu banyak membawa perubahan buat diri ini. Ingin aku luahkan apa yang semakin tebal membuku. Patutkah? Mungkin bukan semuanya.


 Remaja. Semua melalui zaman ini. Namun, bagaimana dia menempuhinya. Itu yang membezakan. Dalam ketika ramai remaja sekarang lalai, hanyut dibuai kisah-kisah atau angan-angan cinta yang belum tentu ke mana itu, aku juga terikut-ikut. Mungkin tersilap mencatur langkah. Diri ini terasa semakin hina dan diselubungi rasa bersalah yang teramat ketika dipuji. Aku berani mengatakan aku tak punya apa-apa, namun kasih sayangNya yang menutup keaibanku di mata mereka. Syukur. Terus, tak perlu untuk aku membuka aib itu. Hakikatnya, tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Mungkin Allah mahu menambah pengalaman agar menjadi bekal buatku ketika menempuhi masa depan. Perkenalan dengannya. Tak mungkin aku lupakan. Katanya " Mungkin peristiwa itu akan dilupakan, namun jangan lupakan kesilapan yang kita lakukan". Jika benar dia untukku, mengapa perlu aku bersusah payah sekarang, kerana sekarang bukan masanya. Aku merasakan erti cinta itu masih mejadi rahsia Tuhanku. Dialah yang menyimpan rahsia yang bakal membuahkan kebahagiaan buat hambaNya. 

Benar, belum tiba masanya untuk aku berbicara tentang hal ini. Juga, sebegitu banyak kebetulan yang berlaku menyebabkan aku rasa semakin serasi dengan dia. Kasih yang dibina begitu lama. Walhal, hakikat yang sebenar apa yang aku rasa, cuma mainan syaitan yang tak pernah lelah menyesatkan manusia. Nukilanku buat dirimu yang membaca:

"pertemuan kita atas takdirNya,
andai apa yang dicita tak terjadi,
percayalah itu bukan salahmu walaupun dissat ini hatimu asing dariku,
tapi ia adalah tarbiyyah dariNya agar menjadi semakin kuat bergantung padaNya,
juga kerana kita(Ahlullah) tak selayaknya berakhlak sebegini, 
MALU kepadaNya,
sungguh tuhan itu menyimpan rahsia yang membuahkan cerita bahagia bagi hambanya,
dan akanku terus terus menabahkan diriku."


Syukur yang tak terhingga. Aku tak rasa keputusan aku salah. Yang HARAM akan terus HARAM. Jangan menghalalkan apa yang diharamkan syariat mengikut kehendak nafsu. Sungguh nafsu itu tak akan pernah puas.

Buat sahabat yang masih hanyut. Belum terlambat untuk ketepian. Muara masih jauh dihadapan. Kita masih dihulunya. Mari kita kembali. Menyedari tanggungjawab dan keadaan kita yang sebenar. Kita pelajar. Menuntut ilmu dijalanNya. Ini semua ujian. Sedarlah, ingatlah akan firmanNya yang mulia:

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepadamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamaNya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." (Al-Baqarah 2:214)


Sungguh wahai sahabat. Tak akan kemana cinta itu jika bukan kehendakNya. Berikan cinta itu kepada yang selayakNya. Allah, RasulNya, juga ibu bapamu. Saudara Ariff Iqbal pernah berseloroh denganku "Apa korang ni tak cukup kasih sayang ke? Kapel2 ape sumer ni? Aku ingat camtu aa. Tak kena masa lagi.. blablabla" Agak panjang kata-katanya. Namun aku highlightkan yang itu. Kerana aku juga pernah berfikir begitu.

Rasa bersalah terus menyelubungi diri. Terasa bagai penipu. Yang terus hipokrit. Berlakon depan ayah dan umi. Aku tak suka begitu. Namun, syukur. Ini jalan keluarnya. Ayah, umi. Apa yang along raih tak lah seberapa. Namun cuma itu hadiah yang along mampu berikan buat kalian. Banyak salah along. Ayah, keampunan darimu merupakan satu anugerah dariNya buatku. Bondaku, umi. Berdosalah aku jika di telapak kakimu tak kutemui syurga. Maafkan along. Maaf. Kata-kata yang tak akanku lupa:

"Berdoalah sebanyak mana pun, namun tiada nilainya doa seandainya hilang kasihmu terhadap ibu ayah."

Kini aku serahkan sepenuhnya kasihku kepadaNya, rasulNya, serta ibu bapaku tercinta. Jasamu tak terbalas. Ayah, umi.

Sahabat, mari kita bersama. Menemani aku. Juga akulah akan menjadi penemanmu, menempuh lereng perjuangan di medan baru. Moga penghijrahan ke tempat baru juga membuahkan perubahan ke arah yang lebih baik buat diri kita semua.

p/s: Moga entri ini menjadi tatapan buat mereka yang aku tujukan. Juga buat kalian, jangan ulangi kesilapanku ya? Buat yang terbaik untuk masa depan sebenarmu. Akhirat.

1 comment:

  1. Itulah hebatnya kuasa "Muhasabah" yang along telah berjaya laluinya. Doa ayah dan umi mengiringi perjuangan along. Semoga diberkati dan diredhai. Usah gusar tentang masa lalu kerana ia tidak akan berulang lagi, tetapi belajarlah darinya untuk dijadikan panduan. Usah bimbang hari esok kerana semuanya masih menjadi rahsia Allah. Lakukan yang terbaik hari ini, nescaya usaha kita takkan sia-sia.

    ReplyDelete