Friday 23 December 2011

Allah menduga dengan nikmatNya

Gambar Hiasan. Jitra Mall. ^_^  Tiada kaitan. Sekadar berkongsi.

Mata terlelap. Aku tak rasa yang aku tidur lena pada malam itu. Sebentar celik. Sebentar pejam. Terus bersilih ganti sehingga pagi. Mujur, rasa syukur ini tak pernah putus kepadaNya. Terus memberi nikmat hidup agar bisa terus beribadah kepadaNya.



Kereta ini terus meluncur laju. Terasa sesuatu yang tak kena. Terasa degupan  di dada semakin kencang walaupun baru sampai di pertengahan jalan untuk ke maahadku tercinta. Ayah berhentikan kereta ini di Gerik. Restoran Kari Kepala Ikan Salim. Kami sekeluarga mengisi perut yang kekosongan di sini. Sarapan.

Setibanya di sempadan negeri Kelantan, jarum jam menunjukkan waktu yang sudah melebihi pukul 10.00 pagi. Sepatutnya perkhidmatan untuk memeriksa keputusan PMR sudah boleh berfungsi. Tapi, mesej aku belum berbalas. Tak mengapa. Mungkin sistem sibuk.

Oh, satu nombor tak dikenali menghantar mesej kepadaku. "mu dapat 9as". Dari gaya penulisannya, aku dapat merasakan gerangan ini tak biasa bersms. Aku terus call. Suara yang agak terbiasa dengan aku. Siapa agaknya ya? Oh, Zafran! Ya, seorang pelajar tingkatan 1. Sering juga dia menemani aku berbual. Aku tertanya-tanya, apa yang dia buat di sekolah pada ketika ini? Mungkin ingin berjumpa dengan rakan aku yang sedikit-sebanyak memberi inspirasi dan semangat kepadanya di sekolah, Wan Ahmad. Gerangan ini juga banyak membantu aku. Ahmad, aku nukilkan namamu disini. Moga ukhuwah kita terus berkekalan.  "Perong, j0l0 eh mg? Alhamdlillah... Thanks2 .............."

Tiba di sekolah. Aku cuba mengatur langkah sebaiknya agar tak kelihatan janggal. Terus berjalan menemui Ustaz Aris Farizal Abdul Halim. Cikgu Faiz duduk di sebelahnya. Kesyukuran yang amat. Betapa lega di hati ini. Alhamdulillah. Segala syukur kepadanya. Bertambah yakin di hati ini dengan firmanNya:

”Dan bahawasanya manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan(kepadanya)” (An-Najm 53: 39-40)

Sahabat, mari kita menyedari hakikat perjuangan ini. Sedarlah. Hidup ini adalah perjuangan buat kita. Mengemudi bahtera keimanan menuju kepadaNya. Apa yang Allah kurniakan kepada kita, pada masa yang sama, ia juga merupakan ujian kepada kita untuk menguji. Apakah kita bersyukur dengan kurniaanNya atau kufur setelah mendapat apa yang dihajatkan. Mari kita soroti kembali kisah Sulaiman A.S yang bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T akan kelebihan yang diberikanNya untuk meletakkan istana Balqis di hadapannya. Kata Nabi Sulaiman, sepertimana yang Allah turunkan di dalam Al-Quran:

"Ini adalah kurniaan Tuhanku, untuk menguji sama ada aku bersyukur atau kufur. Adapun sesiapa yang bersyukur maka sebenarnya syukurnya itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. Barangsiapa yang kufur maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia" - surah An-Naml


Penghargaan buat ibu bapaku. Ini untuk kalian.

Juga buat guru-guru yang mendidik kami semua. Sudi melayan karenah kami yang pelbagai. Semoga Allah merahmati kalian dan memberi ganjaranNya atas keihkhlasan kalian. Jazakumullahu Khairan Jaza'.

Semoga ini menjadi penyuntik semangat buat adik-adikku dan diriku sendiri satu hari nanti. InshaAllah.


Nukilan buat diri,
Khalif Rizal

No comments:

Post a Comment