Wednesday 21 December 2011

Diri ini dalam mensyukuri nikmatNya


Waktu terus berlalu. Meniggalkan mereka yang tak menghiraukan. Lari daripada yang mengejarnya. Benar, setiap sedutan nafas merupakan nikmat daripada Allah S.W.T. Tetapi, nikmat yang sebenar-benar nikmat adalah nikmat IMAN. Kerana dengan IMAN-lah akan membawa seseoramg insan kepada redha Allah S.W.T.



Di suasana begini, terasa amat sulit untuk menjaga iman yang rapuh ini. Sering saja terleka, mudah hanyut dibuai keasyikan yang menjadi bisikan syaitan laknatullah. Syukurlah taufiq daripadaNya menjadi kekuatan untuk aku menukilkan sesuatu buat diriku di sini. Juga hidayah daripadaNya yang menjadi petunjuk buat diri yang lemah ini.

Seketika, terasa amat jauh daripadaNya. Amanah yang diberikan, terasa tak tergalas. Ah, diri mengeluh. Dosa silam sering juga menghantui. Meronta-ronta untuk kembali melakukan. Diri ini yang merasa. Semuanya harus ditelan. Terasa lemah dengan hasutan iblis. Disaat diri ini cuba untuk mencari kekuatan, teringat akan firman Allah S.W.T:

"Oleh itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah" (An-Nisaa' 4:76)


Oh, tipu daya syaitan itu sudah lemah! Mengapa aku masih tak berdaya melawanNya? Aku sendiri tertanya-tanya. Sehingga terlintas di benak fikiran ini, mungkin kerana jauhnya aku daripadaNya kerana dosa-dosaku. Dalam ketika kita melakukan maksiat kepadaNya, kita terlupa. Kita lalai. Tetapi Allah masih mengasihani kita kerana menunjukkan jalan pulang yang sebenar. Allah tidak berhenti memberikan nikmatNya kepada hamba-hambanya. Jelaslah disini, Sesungguhnya Allah itu Maha Mengasihani. Ya, mungkin ini tarbiyyah daripada Allah 'Azza wa Jalla. Setiap yang menduga kita, itu tarbiyyah daripadaNya. Mengajar erti kehidupan. Erti penghambaan.

Disaat rasa putus asa menyelubungi,  teringat lagi akan wahyuNya yang agung:

"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum sampai kepadamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamaNya: "Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." (Al-Baqarah 2:214)


Berdoalah. Mari kita sama-sama berdoa agar Allah menetapkan hati dan iman kita dalam ketaatan kepadaNya sepanjang hidup ini. InshaAllah.

p/s: Esok, result PMR. Semoga yang terbaik hendaknya. InshaAllah.

”Dan bahawasanya manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan(kepadanya)” (An-Najm 53: 39-40)



No comments:

Post a Comment