Tuesday 5 July 2011

"Aku tak perlu kau! Aku mampu!"

"HANYUT KELAUT!" Patutkah?

"Aku tak perlu kau! Aku mampu!" Mungkin itu yang bermain difikiran golongan manusia spesis ini.

"Pukul berapa dah ni? Ahmad panggil abang, tolong hantar kawan-kawan ni." Pukul 9.30, waktu yang tercatat pada tiket bas aku dan kawan-kawan. Musa dan Badrul. Sahabat-sahabat yang sentiasa bersama-sama ketika perjalanan pulang ke rumah. Kami terlewat sampai ke rumah Wan Ahmad kerana terlalu asyik membelek buku di Popular Book Store KB Mall. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 9.04. Selepas makan malam di rumah  Wan Ahmad, kami terus ke bilik yang disediakan buat tetamu untuk bersiap ke stesen bas. Bateri telefon bimbit aku menunjukkan 3 baris daripada 8 baris(kalau tak silap). Masih ada mesej belum berbalas. Kepada yang berkenaan, aku pohon maaf kerana aku harus menyimpan bateri bagi memudahkan aku membuat panggilan kepada ayahanadaku tercinta sebaik aku menjejakkan kaki di Kedah.Namun, bukan itu tujuan entri aku kali ini. 




Aku sampai di rumah lebih kurang pukul 4.45 pagi tadi. Agak keletihan kerana tidur dalam keadaan yang agak kurang selesa semalam. Bas Shamisha K2, kerusi nombor 25. Aku duduk disitu. Badrul di belakang aku. Manakala Musa di kerusi nombor 38. Bas bertolak. Teringat akan sahabatku yang telah meninggalkan madrasah kami kerana tersilap mencatur langkah. Jauh di benak fikiranku tercetus satu tanda tanya "Apa yang dia cari? Apa salah kami? Apa keinginannya? Alangkah baiknya jika dia tidak tersalah mengulangi kesilapan lampaunya." Moga kita semua memperoleh hidayahNya untuk tidak mengulangi kesilapan kita.
Memang fitrah kita sebagai manusia, tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.Mungkin Allah mentarbiyah kita dengan cara ini agar menjadi pengajaran buat kita. Namun, haruskah kita sengaja mengulangi kesilapan kita buat kali kedua? 

Syukur, akhirnya aku berpeluang menukilkan isi hati aku disini. Aku tidak berkesempatan untuk berbuat demikian di madrasah. Mungkin aku terlalu sibuk dengan kerja kursus dan kelas-kelas tambahan yang disusun padat oleh tenaga pengajar untuk kebaikan kami pelajar MTSM. Eh, mengapa "M"? Mengapa bukan "Y". Haha. Mungkin lahir persoalan seperti ini di benak fikiran anda "Budak ni pindah sekolah ke?". Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi nama baru madrasah kami bagi menggantikan nama lama yang berusia tak sampai setahun jagung Maahad Tahfiz Sains Yaakubiah. Sekolah yang dibangunkan oleh Tuan Mudir kami, Ustaz Ahmad Suzani Jaafar setelah diselia oleh Syeikh Quran kami Ustaz Yusof Abdul Kadir dibawah pentadbiran Maahad Yaakubiah beberapa tahun yang lepas.

Teringat kenangan aku di sini. Mungkin aku tak mampu menghadapi peristiwa hujung tahun ini bagi meninggalkan madrasah kesayanganku ini. Tambahan lagi, perpisahan dengan sahabat-sahabatku kerana mungkin kami akan pulang ke negeri masing-masing dan sekolah berlainan selepas ini. Banyak pengalaman aku di sini. Di sini, aku dapat kenal manusia. Pelbagai karenah sahabat-sahabat. Kenangan dengan asatizah di sini.

Berbicara tentang karenah manusia. Aku terdetik untuk menulis entri ini. Kembali kepada kisah semalam. Sesampainya di Pasir Mas, pemandu bas ini berhenti untuk mengambil penumpang. Mereka masuk ke dalam bas. Maka, hadirlah seorang penumpang untuk mengisi kerusi kosong berhadapan dengan kerusi aku. Dia berjalan dengan laju tanpa menoleh kiri dan kanan, jauh sekali untuk melemparkan senyuman sebagai sedekah dan tanda persaudaraan sebagaimana tunjuk ajar Nabi Muhmmad S.A.W. Lantas gerangan tadi duduk dan merebahkan kerusi mengikut keselesaannya. Gedebuk! Kepalaku terhantuk pada kerusi itu. Sekaligus menghilangkan rasa mengantuk yang hadir. Aku sangka dia akan meminta maaf. Paling kurang, "Sorry dik". Mungkin kerana aku budak hingusan pada matanya, dia tidak menghiraukan apa yang aku rasa. Aku biarkan rasa itu. Bersagka baik, husnuszonn mungkin dia keletihan. Tapi sebaliknya, aku berdiri untuk membetulkan kedudukanku di kerusi ini, terlihat saudara itu tadi sedang asyik bersama telefon bimbit canggihnya. Terdetik dihatiku, mungkin dia ini memang jenis bongkak. Mungkin ini yang bermain difikirannya "Aku tak perlu kau! Aku mampu!". Kalau betullah dia ini seorang yang berada, mengapa dia naik bas? Naik sajalah kapal terbang kau dengan bongkak! "JGN KACAU AQ TID0.,!!" hehe. 

Pada aku, dia ini tidak lain hanyalah manusia yang ingin berlagak sombong di atas muka bumi Allah ini. Firman Allah S.W.T

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (Luqman : 18)

Astaghfirullah. Aku juga tidak lari daripada membuat lagak sombong seperti ini kadang-kadang. Semoga kita terhindar daripada berkelakuan seperti ini. Semoga kita tidak mengulanginya lagi. Insyaallah.

p/s: Tidak berniat ingin memburukkan sesiapa, cuma buat iktibar kita semua.

No comments:

Post a Comment