Thursday 20 October 2011

Melayu mudah lupa atau manusia itu memang pelupa?


Ramai orang berbicara kononnya sikap kaum Melayu mudah lupa. Mereka menyalahkan kaum Melayu dengan ayat yang begitu sinis. "Melayu mudah lupa". Mereka bukan berbangsa Melayu-kah? Atau mungkin mereka ingin mengecualikan diri mereka pada saat mereka melontarkan ayat itu? Aku amat tertarik untuk membincangkan topik ini dengan kalian pada entri kali ini.



Pada hemat aku, bukan cuma Melayu yang pelupa. Ini tidak bermaksud aku ingin mengatakan kaum Cina juga pelupa, tetapi aku cuma ingin mengatakan sifat lupa bukan hanya pada kaum Melayu. Mungkin ada dalam kalangan anda yang mengatakan, mengapa orang Cina ramai yang berjaya dan tidak pernah terlihat sesiapa yang mengatakan bangsa ini pelupa. Benar, ini mungkin kerana usaha dan kesungguhan mereka. 

Cuba kita perhatikan disini. Perkataan manusia atau insan itu pada asalnya merupakan perkataan dalam Bahasa Arab iaitu nasiya. Perkataan ini terdiri daripada huruf  Nun, Sin  dan Ya. Perkataan ini, jika diterjemahkan kembali dalam Bahasa Melayu bermaksud "lupa". Perkataan manusia dan insan terhasil atas wazan-wazan yang tertentu. Gelaran insan ini bukan direka-reka oleh manusia untuk dijadikan sebab tetapi kerana bukti yang kukuh iaitu surah yang dinamakan Surah Al-Insan.

Di sini, cuba kita lihat dan fikirkan, mengapa kita digelar dengan gelaran Insan? Ini menunjukkan sifat dan kelemahan kita sebagai hamba. Makhluk ciptaan Allah S.W.T. Sekaligus mengagungkan Allah S.W.T yang sudah sememangnya tiada tandingan dan tiada sekutu bagiNya. Oleh itulah, kita juga diperintahkan oleh Allah Azza wa Jalla agar sentiasa saling memperingati dan saling berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Seperti yang telah termaktub dalam Surah Al-Ashr.


Maka, kita hendaklah memperingati saudara kita yang lain agar tidak lupa dan bersedia untuk memaafkan mereka jika mereka terlupa atau lalai akan sesuatu. Namun, kita jangan sering menyalahkan takdir jika kita terlupa. Allah Azza wa Jalla memberikan kita kekuatan dan akal yang mesti digunakan untuk memikirkan bagaimana cara untuk tidak menjadi pelupa.

Prof. Madya Dr.Mohd Asri bin Zainul Abidin juga pernah menceritakan pengalaman beliau duduk bersama-sama dengan orang-orang yang berjawatan besar dalam urusan agama di negara ini.  Katanya, sebahagian mereka tidak memiliki hati nurani umat. Dari pandangan aku, jika mereka ini memang golongan berilmu. 'Alim. Namun mereka alpa. Hanyut dengan arus dunia. Walaupun mereka begitu lantang bersuara tentang agama, namun ingatkah mereka akan ayat Oleh itu, disinilah pentingnya tazkirah atau peringatan itu tadi.

Kisah tentang kelalaian ini juga pernah berlaku pada semasa perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah. Nabi Muhammad S.A.W mengarahkan pasukan memanah untuk mendirikan kubu di atas bukit dan tidak meninggalkan tempat tersebut sehingga diberi arahan. Sebaik sahaja tentera Muslimin melihat tentera kafir Quraisy yang sudah semakin goyah, tentera yang berada di atas bukit tadi turun ingin memungut harta rampasan perang. Mereka terpukau dengan perkara duniawi sebentar. Tentera kafir Quraisy yang pada ketika itu dipimpin oleh Khalid al-Walid ketika sebelum memeluk Islam, telah mula menyerang melalui belakang bukit. Ramai tentera Islam yang terkorban dalam peperangan ini. Ini menjadi pengajaran kepada umat Islam seluruhnya agar tidak lupa. Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa kita hendaklah sentiasa patuh dan taat kepada perintah ketua selain Allah dan Rasulnya. Seiring dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan taatalah kepada Ulil Amri dalam kalangan kamu." 

Ulil Amri dalam konteks ini membawa maksud ketua. 

Semoga apa yang dikongsikan pada hari ini dapat memberi sedikit-sebanyak peringatan buat diri ini sendiri terutamanya dan juga kepada kalian. Semoga entri aku pada kali ini juga dapat mengubah persepsi kalian terhadap kata-kata yang agak masyhur dalam kalangan kita iaitu "Melayu mudah lupa."





No comments:

Post a Comment